Tuesday, September 2, 2008

Wahai insan, renunglah engkau akan nasib diri
Wahai qalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai aqal, terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi.
Andai ini merupakan Ramadhan ku yang terakhir kali
Buatku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian...adalah sesuatu yang pasti.....
Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir
"a'la bizikrallahi tat mainnal qulub"
[Bukankah dgn berzikir itu hati akan menjadi tenang..]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu...
Kepada-NYA Tuhanku yang satu...
Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatku dikerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai...
Sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil...
Menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah
Tuhan seru sekelian alam]
Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang...bakal ku syairkan
Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu aku sibukkan dengan Berterawih...
Berqiamullail...Bertahajjud...
Mengadu...Merintih...
Meminta belas kasih....
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MUtapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU
"Oleh itu duhai Ilahi...
Kasihanilah daku hamba-MU yang...
Hina..
Dhaif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yg dirindui oleh nabi dan sahabatNya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di ramadhan ini..
ANDAI AKU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR………

Wednesday, August 27, 2008

DOA RAMADAN

Ya Allah, jadikan puasa ku disertai dengan rasa syukur dan diterima oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan rasul Mu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad saw dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
O Allah, on this day, make my fasts worthy of appreciation and acceptance, according to what pleases You, and pleases the Messenger, the branches being strengthened by the roots, for the sake of our leader, Muhammad, and his purified family. Praise be to Allah, the Lord of the worlds.



KELEBIHAN RAMADHAN



Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

Monday, August 25, 2008

ramadhan kan menjelma



Bulan Ramadhan dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu"(H.R. Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Bersedekah atau menderma untuk tujuan kebaikan sangat digalakkan pada semua masa, tetapi menderma dalam bulan Ramadhan adalah lebih digalakkan lagi dan lebih afdhal. Rasulullah s.a.w. sangat dermawan dalam bulan Ramadhan. Ibn Abbas r.a. berkata : "Nabi s.a.w. adalah orang yang paling dermawan, dan baginda s.a.w. lebihdermawan lagi dalam bulan Ramadhan."( H.R. Bukhari dan Muslim )

Tuesday, August 19, 2008

Tiga Golongan Perosak Muslim







Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat banyak pengajaran daripada kisah-kisah yang telah diceritakan dan terdapat cerita yang diulang-ulang. Pengulangan kisah ini bukan bermaksud Allah kekurangan `modal`. Akan tetapi pengulangannya itu mengandungi pengajaran untuk kita semua menghayatinya. Seperti ayat 13 surah Ali Imran yang bermaksud:"Sesungguhnya dalam kisah-kisah itu terdapat ibrah, pengajaran bagi orang-orang yang berfikir" Melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Al Quran, Allah ingin menunjukkan tiga sifat perosak kepada manusia ataupun jin.

Pertama ialah sikap sombong seperti kisah penciptaan Nabi Adam a.s yang mana Iblis tidak mahu menyembah Adam lalu berkata:''Aku lebih baik daripada dia, aku diciptakan daripada api, sedangkan dia diciptakan daripada tanah."Sifat sombong adalah kerana menolak kebenaran dan memandang rendah kepada orng lain. Dosa sifat ini tidak akan diampunkan oleh Allah sehngga kita bertaubat. Rasullullah pernah bersabda yang bermaksud:"Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan'' Sebagai contoh, negara akan kacau jika penguasanya merasa lebih terhormat dan mulia berbanding dengan rakyat yang dipimpinnya. Jika penguasa berasa diri mereka hebat sehingga merasakan tidak perlu saranan apa lagi kritikan maka perasaan inilah yang membinasakan Firaun dan Namrud seperti yang dikisahkan di dalam Al-Quran. Penguasa yang bengis dan sombong, di telunjuknya adalah hukuman dan di mulutnya pula adalah undang-undang. Ertinya tanpa ada pilihan lain, rakyat terpaksa tunduk dan patuh kepada penguasa yang zalim. Sehinggalah penguasa yang tidak melaksanakan perintah Allah ini akan dihancurkan oleh kerana perbuatan diri sendiri.Di dalam surah Al Nahl ayat 23 pula:"Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.

"Sifat perosak kedua pula adalah serakah. Sifat ini menjadikan manusia sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada pada dirinya. Di dalam Al-Quran telah dinyatakan kisah Nabi Adam dan Hawa yang mana Allah telah memberikan pelbagai kemudahan, kesenangan dan kenikmatan yang tiada tandingan di syurga kecuali janganlah mereka memakan buah kuldi. Larangan ini dilanggar yang akhirnya mendatangkan kemurkaan Allah. Apa yang hendak disampaikan di sini bukanlah keburukan Adam akan tetapi adalah sifat serakah yang mengheret Adam dan Hawa dari singahsana syurga.

Sifat ketiga adalah hasad. Di dalam quran, diceritakan kisah Qabil membunuh saudaranya Habil kerana hasad dengkinya terhadap Habil yang mempunyai seorang isteri yang lebih cantik. Sifat hasad menyebabkan seseorang memandang apa yang dimiliki orang lain sentiasa lebih menarik daripada yang dimilikinya.Sebagai contoh, ketika jirannya memiliki sebuah kereta baru, maka tergelegaklah hatinya. Pertama-tamanya ia akan mengembangkan sifat su'uzannya,dengan penuh selidik ia menyangka bahawa ianya dari usaha yang tidak halal. Seterusnya orang yang bersifat hasad merasakan tidak suka orang lain mendapat nikmat dan rezeki, sehinggakan ada yang sanggup untuk memusnahkan nikmat itu.
Rasulullah bersabda,: "Waspadalah terhadap hasad, sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala seperti api memakan kayu". Penyakit hati amat berbahaya. apabila hati sentiasa gelisah jika orang lain mendapat kebahagian. Orang yang bersifat hasad juga amat berbahaya kerana dia akan melakukan apa-apa jenayah untuk melenyapkan nikmat yang diberikan Allah kepada orang lain. Setiap negara dan bangsa mengandungi tiga golongan terbabit,iaitu penguasa,pengusaha dan rakyat jelata. Jika penguasanya sombong, pengusahanya serakah, dan rakyatnya iri hati maka hancurlah negara tersebut.